Sunday, May 11, 2014

Seni Dan Budaya Gamelan Melayu



The Gamelan Melayu’ : Malay Classical music as played by the Royal ensemble, has an inherent mystical uniqueness and is a legacy left by the generation past, and which prevails in our midst today…”
                                                                                            Ahmad Farid Abdul Jalal, 2008


            Seni dan budaya Gamelan Melayu merupakan salah satu warisan budaya dan kesenian negara yang menjadi produk utama pelancongan di Malaysia. Alunan muzik Gamelan Melayu ini mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri yang mampu menonjolkan identiti Malaysia di mata dunia. Seni dan budaya Gamelan Melayu menjadi daya tarikan pelancong dari pelbagai negara untuk datang melawat ke Malaysia.  Gamelan Melayu kerap dipersembahkan dalam pelbagai acara dan persembahan sebagai salah satu langkah untuk memelihara seni dan budaya dalam memartabatkannya sebagai warisan bangsa supaya tidak lenyap ditelan zaman. Pada suatu ketika dahulu, Gamelan Melayu ini hanya dimainkan untuk upacara keraian dan hiburan di istana sahaja tetapi kini muzik Gamelan Melayu semakin bersifat komersil apabila ia telah dipasarkan secara menyeluruh di seluruh negeri bahkan seluruh dunia melalui persembahan-persembahan yang diadakan dan juga aktiviti mempromosikan seni Gamelan Melayu ini.

Kini Gamelan Melayu terus mendapat sambutan dan semakin popular di mainkan oleh setiap individu daripada pelbagai peringkat umur tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Dalam proses menyemarakkan keindahan dan kegemilangan seni Gamelan Melayu sebagai tradisi dan lambang warisan negara Malaysia, ia sudahpun mula di ajar di peringkat sekolah-sekolah, universiti, institusi-institusi dan juga agensi – agensi kerajaan. Menggunakan pendekatan gubahan dan alunan muzik masa kini yang lebih bersifat kotemporari menjadikan Gamelan Melayu ini lebih asyik dan menyeronokkan untuk dimainkan. Secara langsung melalui pendekatan yang digunakan, ia dapat menawan hati pelancong-pelancong di luar negara untuk menyaksikan keistimewaan persembahan Gamelan Melayu ini.



 “ Adalah menjadi tanggungjawab bagi rakyat Malaysia untuk memastikan setiap tetamu kita dilayan dengan penuh hormat dan berbudi bahasa di samping memperkenalkan tarikan-tarikan indah yang banyak terdapat di Malaysia”

                                                            4 Januari 2014
YB Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz

Sempena Tahun Melawat Melaysia 2014, pelbagai kempen dan promosi dilaksanakan untuk mengwar-warkan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Malaysia dalam misi memperkenalkan Malaysia serta menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai keistimewaan budaya dan warisan yang terdapat di negara khatulistiwa ini. Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz yang menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk bersatu dan memberikan sokongan mereka dalam memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 sejajar dengan konsep "Kita Adalah Tuan Rumah" (We Are The Host)[1]. Justeru itu, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menonjolkan kelebihan dan keunikan seni dan budaya yang terdapat di Malaysia seperti Gamelan Melayu terutamanya. Sebagai langkah menyemarakkan seni Gamelan Melayu ini pada setiap dua tahun sekali akan berlangsungnya “Festival Gamelan Sedunia” yang diadakan di negeri Terengganu.

            Festival Gamelan Sedunia ini mula dilaksanakan pada tahun 2008, 2010 dan seterusnya pada 25 Oktober 2013 tahun lalu. Menurut Pengarah Lembaga Muzium Terengganu Mohd Yusof Abdullah (2013), festival kali ketiga ini merupakan usaha berterusan selepas Festival dan symposium Gamelan yang diadakan pada 2008 dan 2010[2]. Pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan bagi menyemarakkan festival tersebut seperti pameran, persembahan gamelan dan gerai jualan. Festival Gamelan Sedunia yang berlangsung pada tahun 2013 itu turut mengumpulkan beberapa kumpulan dari luar negara seperti kumpulan Gamelan Bali, Jepun, Jawa, Kumpulan Gamelan Melayu United Kingdom dan China. Tidak ketinggalan, turut menyertai beberapa kumpulan gamelan tempatan dan professional tempatan seperti Hand Percussion, Kumpulan Pak Ngah, Kumpulan Gamelan Istana Budaya dan beberapa kumpulan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam Dan Swasta. Bengkel gamelan turut diadakan sebagai salah satu pengisian program Festival Gamelan Sedunia tersebut yang memfokuskan kepada permainan alatan muzik gamelan Melayu, bali dan Jawa yang dikendalikan oleh pakar muzik gamelan. Memandangkan Gamelan Melayu terkenal di negeri Terengganu, program besar seperti Festival Gamelan Sedunia ini menjadi penyumbang utama kepada industri pelancongan di Malaysia dalam merealisasikan hasrat menjadikan negeri Terengganu sebagai destinasi khusus yang menjadi ikon kesenian gamelan dunia.




[1] MOTAC. (Januari 4, 2014). Pelancaran Gilang – Gemilang Tahun Melawat Malaysia 2014. Dimuat turun pada 1 Mac 2014 dari laman web http://www.motac.gov.my/bm/media/siaran-media/706-pelancaran-gilang-gemilang-tahun-melawat-malaysia-2014.html

[2] Bernama. (19 Sept, 2013).  LMNT Anjur Festival Gamelan Sedunia 2013 Martabatkan Seni Gamelan. Di muat turun pada 31 Mac 2014 dari laman web https://my.news.yahoo.com/lmnt-anjur-festival-gamelan-sedunia-2013-martabatkan- seni-101315042.html

1 comment: