Sunday, May 11, 2014

Instrumen Gamelan Melayu

Gamelan Melayu biasanya dimainkan dengan menggunakan 9 jenis instrumen yang terdiri daripada 7 jenis alat muzik utama iaitu keromong yang juga dikenali sebagai bonang, gambang, saron demung, kenong, gong kecil dan gong besar dan 2 jenis alat muzik dari kumpulan saron iaitu saron barung dan saron peking[1].



 KEROMONG


Keromong atau bonang merupakan alat muzik daripada kategori idiofon yang mempunyai bentuk seperti kendi ‘kettle shaped dan sifat bunyinya yang berprinsipkan  kepada dengung. Terdapat 12 biji gong yang bersaiz kecil di susun di atas tempat yang dicipta khas untuk peralatan muzik tersebut. Keromong merupakan alat utama yang akan memulakan muzik pembukaan kemudian diikuti oleh instrumen gamelan yang lain. Gong yang berukuran kecil dan diperbuat daripada gangsa merupakan alat melodi utama dalam ensembel gamelan.

GAMBANG
               


Gambang terdiri dari sejumlah kepingan kayu keras yang diletakkan di atas kotak kayu yang berfungi sebagai penyalun bunyi. Kepingan-kepingan kayu tersebut dipukul dengan sepasang pemukul kayu yang berbalut. Setiap bilahan kayu tersebut dipukul kepada pic-pic tertentu. Alat muzik ini merupakan salah satu alat utama yang dimainkan dalam ensemble gamelan.

 SARON
Saron Demong

Saron Barung

Saron Peking

Saron terdiri daripada tiga jenis iaitu saron demong, saron barung dan saron perkin. Setiap saron dapat dibezakan dengan saiz dan juga bunyi yang berbeza. Kumpulan saron ini terdiri daripada 6 bilah gangsa yang di susun dan dipukul menggunakan penukul yang dicipta berdasarkan bunyi pic – pic tertentu. Saron Demung mempunyai saiz lebih besar berbanding saron barung dan Saron Peking. Manakala Saron Peking mempunyai saiz yang lebih kecil. 6 bilah gangsa yang terdapat pada saron disusun mengikut bunyi 1, 2, 3, 5, 6 dan i.

 KENONG

Kenong sejenis alat yang diperbuat daripada gangsa dan berfungsi sebagai alat kolotomik dalam muzik gamelan. Mempunyai pic yang tetap iaitu ‘fixed –pitch’ yang diasaskan kepada ‘western  tempered pitch’. Terdiri daripada 5 biji gong bersaiz sederhana yang disusun mengikut bunyi 1, 2, 3, 5, 6 (Bunyi i diganti dengan 1). Memandangkan alat Kenong diletakkan ditempat yang lebih tinggi maka pemain memerlukan tempat duduk untuk yang sama tinggi dengan alat ketika memainkan instrumen Kenong ini.


Kenong


GENDANG

Gendang

Gendang merupakan salah satu alat muzik tradisional yang sangat signifikan dalam masyarakat melayu. Gendang merupakan alat muzik yang terpenting dalam ensembel  muzik tradisional Melayu seperti Wayang Kulit, Menora  dan Gamelan. Permukaannya diperbuat daripada kulit kambing atau lembu yang diregangkan menggunakan rotan. Baluhnya diperbuat daripada jenis kayu keras seperti kayu nangka atau merbau.


 GONG

Terdapat 2 jenis gong yang berbeza daripada segi saiz yang di panggil sebagai Gong besar dan Gong Kecil. Alat muzik ini diperbuat daripada logam seperti gangsa, tembaga  atau besi dengan menggunakan teknik acuan. Gong digantung pada rak kayu dan dipukul pada bahagian busut dengan menggunakan sebatang  pemukul kayu yang berbalut. Gong merupakan alat utama yang menjadi pelengkap utama sesuatu gubahan muzik gamelan.


Kedudukan Gong Besar ( kanan) dan Gong kecil (kiri)




[1] Maklumat diperolehi daripada Unit Perpustakaan dan Bahagian Pengurusan Koleksi, Jabatan Muzium Malaysia dan gambar instrumen Gamelan Melayu merupakan alat muzik diambil di Bilik Latihan Muzik Gamelan Cendanasari, Jabatan Muzium Malaysia.

0 comments:

Post a Comment