Sunday, May 11, 2014

Sejarah Gamelan Melayu

Sejarah menunjukkan bahawa Gamelan Melayu mula diperkenalkan pada tahun 1811 apabila sekumpulan penari dan pemuzik bersama instrumen muzik gamelan di bawa dari istana Riau-Lingga untuk menyerikan majlis perkahwinan diraja iaitu Wan Esah adinda kepada pemerintah Pahang. Bendahara Tun Ali (1806 – 1857) dengan Tengku Hussain putera sulung kepada sultan Riau-Lingga (Sultan Mahmud Syah III (1761 – 1812) yang berlangsung di Pekan, Pahang. Seni dan budaya persembahan Gamelan Melayu ini terus berkembang di negeri Pahang dan dikenali sebagai “Joget Pahang” dan perkembangan muzik gamelan turut digambarkan dalam penulisan Frank Swettenham (pegawai British) yang berjudul “A Malay Nautch” yang menjadi tetamu istana Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (1882-1914) pada tahun 1875 di Pekan, Pahang sebagai sesuatu yang unik dan sangat berharga yang jarang dilihat oleh orang Eropah.


"Had the performance I now describe nearly resembled any of those commonly seen here, or in the Peninsula, there could be little interest in this description, but in the belief that the sight as I saw it is a rare one, seldom witnessed by Europeans, and so far undescribed, I have ventured to offer it, as it may, to some, be interesting."
Sir Frank A. Swettenham
'A Malay Nautch' - a paper read at a meeting of the Straits Branch
of the Royal Asiatic Society in Singapore, August 1878.


            Menerusi persembahan di upacara perkahwinan, kesenian gamelan ini terus berkembang di negeri Terengganu sebagai hiburan eksklusif bagi keluarga diraja. Di mana Joget Pahang dipersembahkan di majlis perkahwinan Tengku Long, puteri Sultan Ahmad dengan Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) dari Terengganu pada 1885 dan Baginda telah tertarik kepada seni gamelan dan meneruskan kesenian gamelan Melayu ini di istana Terengganu. Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Tengku Sulaiman (1875 – 1942), putera Sultan Zainal Abidin III dan bersama-sama pasangan diraja Terengganu ini telah mengangkat seni gamelan Melayu ke zaman kegemilangannya (1914 – 1942). Malangnya seni dan budaya Gamelan Melayu lenyap seketika apabila berlaku Perang Dunia II (1941) dan penaungnya Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada tahun 1942 dan sejak ketika itu, set gamelan telah tersimpan sepi di Istana Kolam yang merupakan kediaman Tengku Ampuan Mariam.

Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Mubin Sheppard merupakan Pengarah Muzium Negara (1958 – 1963) telah menemui instrumen gamelan apabila beliau menjalankan kajian seni ukiran Melayu di Istana Kolam dan telah tercetus idea untuk menghidupkan semula seni gamelan tersebut. Setelah diperkenan izin daripada Tengku Ampuan Mariam, beliau berusaha menghimpunkan semula pemuzik-pemuzik lama seperti Encik Muhammad bin Ismail (Pak Mat) seorang pemuzik istana pada suatu ketika dahulu dan penubuhan kumpulan penari yang di beri tunjuk ajar oleh Puan Adnan binti Abdullah (Mak Nang) yang merupakan bekas penari istana. Kumpulan gamelan baru yang ditubuhkan itu, dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu dan telah membuat kemunculan pertamanya pada tahun 1969 di Pesta Muzik dan Drama Asia Tenggara dan Temasya (1970) yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Demikian sejarah menceritakan segalanya dan pada tahun 1973 set gamelan di Istana Kolam telah diserahkan kepada kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Di sebalik instrumen yang dipamerkan itu tidak ternilai harga kerana ia merupakan seni warisan yang terpendam yang perlu terus dihayati dan  keindahannya untuk generasi akan datang.

1 comment:

  1. Saya ingin sekali melihat langsung Gamelan Melayu yang menurut informasi dibawa dari Daik, Ibukota Kesultanan Lingga-Riau.

    Mohon pencerahannya, yang saya dapat informasi Gamelan Melayu ini di bawa dari Daik dan berkembang di Daik pusat kesultanan Lingga-Riau sebelum ibukota dipindah ke Penyengat tahun 1901. beberapa tahun lalu, di Daik ditemukan empat buah bonang yang terkubur di dalam tanah dan sudah diselamatkan dan tersimpan di Museum Linggam Cahaya, Lingga.

    Hal ini juga yang membuat saya tertarik dengan gamelan melayu sampai tahun lalu salah seorang pengajar Gamelan Melayu, Bapak Herman menjejakkan kaki ke Lingga menelusuri gamelan ini. Semoga lewat kesenian ini membuka kembali hubungan persaudaraan dan kekerabatan kita bangsa melayu meski terpisah oleh negara.

    ReplyDelete